Operasi Ketenteraan Yahudi Di Bumi Palestin – Suatu Perspektif Perundangan Antarabangsa
Oleh: Mohd Sohibul Kahfi Bin Hussin
Pen. Pengarah Bahagian Pembangunan Dasar & Penyelidikan
Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia
Sesungguhnya Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah berfirman di dalam Kitab-Nya yang Suci:-
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu”. (Surah Al-Baqarah : 120)
Pencerobohan, kekacauan serta pertumpahan darah yang dilakukan oleh pihak Rejim Zionis Yahudi sudah tidak dapat disangkal bahkan semakin menjadi-jadi dewasa ini. Bukan satu perkara yang luar biasa kerana hal ini telah dikhabarkan sedari zaman Al-Quran diwahyukan ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad (s.a.w.). Menurut Ibnu Kathir di dalam tafsirnya, Allah telah memberi amaran yang keras di dalam ayat ini supaya umat Islam tidak mengikut ajaran dan cara hidup Yahudi atau Kristian yang bercanggah dengan ajaran Islam yang murni lagi suci. Walaupun ayat ini ditujukan khas kepada Nabi kita Muhammad (s.a.w.) tetapi larangan tersebut adalah terpakai juga ke atas seluruh umat Islam secara amnya.
Tentera Rejim Zionis telah melakukan operasi ketenteraan ke atas ribuan penduduk awam Palestin setelah gagalnya perjanjian gencatan senjata yang dimeterai oleh Hamas dan Israel tanggal 19 Jun 2008 lalu. Operasi ketenteraan ini mendapat sokongan padu dari sekutu kuat Israel, iaitu Amerika Syarikat, walaupun pada dasarnya tindakan ini secara terang-terangan telah menafikan hak-hak asasi manusia penduduk bumi Palestin.
Hal yang demikian akan dikupas dengan lebih lanjut dan mendalam menurut perspektif dan sudut perundangan antarabangsa yang berdasarkan kepada jenis-jenis hak asasi manusia, penggunaan kuasa tentera dan pencabulan hak-hak asasi yang dilakukan oleh Rejim Zionis Yahudi terhadap penduduk Palestin.
Secara amnya, jenis-jenis hak asasi manusia boleh dibahagikan kepada tiga kategori. Pertama, hak-hak sivil dan politik umpamanya kebebasan bersuara dan mengutarakan pendapat, hak untuk mengadakan perhimpunan secara aman , kebebasan dari penindasan , kebebasan dari penahanan secara haram , hak untuk dibicarakan dengan adil dan sebagainya.
Kedua, hak-hak berkaitan ekonomi, sosial dan budaya seperti hak untuk mendapat pekerjaan , hak untuk mendapat pendidikan dan hak untuk mendapatkan khidmat perubatan . Ketiga, hak-hak berkaitan orang awam yang boleh didefinasikan sebagai hak-hak yang bersifat kolektif selain daripada hak-hak bersifat individu sebagai contoh hak memperoleh pembangunan.
Dalam memperkatakan tentang hal hak asasi manusia, umum mengetahui bahawa negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat dan Britain adalah merupakan peneraju utamanya. Namun, suasana global hari ini telah membuktikan bahawa mereka mengamalkan hak asasi secara berat sebelah. Pencabulan besar-besaran hak asasi penduduk Palestin dipandang enteng. Tempat awam dibom dan dimusnahkan. Manakala golongan wanita dan kanak-kanak Islam pula dibunuh tanpa belas kasihan. Tambah menyedihkan, jalan-jalan masuk untuk menghantar bantuan bekalan makanan dan perubatan disekat. Ini menunjukkan bagaimana Amerika Syarikat yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia secara terang-terangan menyokong tindakan sekutunya menafikan hak asasi rakyat Palestin.
Dari sudut yang lain pula, Rejim Zionis telah memberikan justifikasi penggunaan kuasa tentera mereka berdasarkan tindakan mempertahankan diri. Hal ini timbul rentetan dakwaan mereka bahawa wilayah selatan regim tersebut sering menjadi mangsa hujanan roket Hamas. Persoalan utamanya, adakah tindakan rejim ini dalam mempertahankan wilayahnya merupakan suatu yang perlu dan bersekadar patut (necessary and proportionate) dalam istilah perundangan?
Apakah maksud bagi terma pertahanan diri? Tindakan mempertahankan diri boleh didefinasikan sebagai suatu penggunaan kuasa tentera yang menepati terma dan syarat yang dinyatakan di dalam undang-undang antarabangsa sebagai tindak balas kepada penggunaan kuasa tentera oleh negara asing yang tidak dibenarkan oleh undang-undang sama. Perkara 51 Piagam Bangsa-bangsa Bersatu menyatakan bahawa ahli-ahlinya mempunyai hak mempertahankan diri sama ada bersendirian atau secara kolektif sekiranya negara asing melakukan serangan bersenjata ke atas negara tersebut.
Dalam menjelaskan hak yang diperuntukkan oleh piagam tersebut, penulis ingin merujuk kepada Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa di dalam Kes Nicaragua yang mengiktiraf hak mempertahankan diri sesebuah negara jika dilaksanakan mengikut keperluan dan bersekadar patut sahaja. Walaupun begitu, serangan demi serangan yang dilakukan oleh tentera rejim kebanyakannya mensasarkan kawasan kejiranan Palestin yang padat dengan penduduk awam, sekolah serta bangunan kerajaan.
Tindakan yang dikatakan berasaskan mempertahankan diri ini sama sekali tidak dapat diterima akal kerana menurut Konvensyen Geneva , serangan yang disasarkan terhadap orang awam adalah dilarang. Justeru itu, penggunaan kuasa tentera rejim bukanlah suatu tindakan yang berasaskan undang-undang antarabangsa bahkan merupakan satu bentuk penggunaan kuasa tentera secara berlebihan.
Sebenarnya, ini bukanlah kali pertama tentera rejim zionis bertindak kejam dengan menyerang kawasan padatan penduduk. Pada 7 Jun 1981, kapal perang tentera rejim telah memusnahkan reaktor nuklear milik Iraq yang terletak berdekatan Baghdad hingga menyebabkan banyak kemusnahan dan kehilangan nyawa penduduk awam.
Setelah diteliti, reaktor tersebut hanya digunakan untuk tujuan-tujuan yang dibenarkan sebaliknya bukan untuk tujuan membuat senjata. Tentera rejim mendakwa serangan tersebut adalah suatu langkah pertahanan diri jangkaan (anticipatory self-defence). Amerika Syarikat juga menggunakan alasan persis diberikan oleh sekutunya ini ketika melancarkan operasi penaklukan Iraq secara haram pada tahun 2003. Kedua-dua tindakan ini dikutuk serta mendapat kecaman hebat masyarakat antarabangsa.
Kesimpulannya, penggunaan kuasa tentera secara berlebihan oleh rejim zionis terhadap penduduk awam Palestin adalah merupakan satu pencabulan bukan sahaja terhadap Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu malah mencabuli hak-hak asasi penduduk Palestin. Dari sudut kaca mata perundangan antarabangsa, mereka yang terlibat dalam kekejaman dan kezaliman ini patut dihadapkan ke muka pengadilan Mahkamah Antarabangsa dan dihukum sebagaimana hukuman ke atas penjenayah perang.
sumber: esyariah

No comments:
Post a Comment